Ahad, 22 Februari 2009

PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN


Zon Industri Akuakultur (ZIA)
Pengenalan
Permintaan terhadap makanan berasaskan ikan dijangka terus meningkat dengan meningkatnya penggunaan per kapita ikan negara daripada 49 kg kepada 56 kg menjelang tahun 2010. Oleh yang demikian, bagi mengurangkan pergantungan yang tinggi terhadap ikan yang diimport, pengeluaran ikan negara perlu ditingkatkan sejajar dengan peningkatan penggunaan isirumah serta permintaan daripada sektor pemprosesan. Pengeluaran akuakultur juga perlu di tingkatkan selaras dengan matlamat Imbangan Dagangan Negara untuk meningkatkan pendapatan eksport makanan. Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) telah mengenalpasti akuakultur sebagai satu subsektor perikanan yang boleh menyumbang kepada peningkatan pengeluaran ikan negara. Akuakultur yang berskala besar atau komersial juga boleh dibangunkan sebagai satu industri yang dapat meningkatkan pengeluaran ikan. Sehubungan dengan itu, penyertaan sektor swasta dalam pengeluaran makanan berasaskan ikan akan dipertingkatkan, sama ada melalui akuakultur berskala komersial atau sederhana selaras dengan matlamat DPN3.Bagi menjamin penggunaan sumber yang rasional dan mapan, pembangunan akuakultur hendaklah dijalankan secara terancang melalui pengezonan kawasan pembangunan akuakultur supaya lebih berpusat dan tersusun.

Konsep Zon Industri Akuakultur (ZIA)
Program Zon Industri Akuakultur (ZIA) merupakan program pengezonan kawasan tanah dan perairan yang dikenalpasti sesuai untuk dibangunkan dengan projek akuakultur berskala komersial sebagai salah satu strategi untuk meningkatkan pengeluaran ikan, udang dan kerang-kerangan yang ditetapkan di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3). Oleh sebab kriteria utama pemilihan zon industri akuakultur bergantung kepada kewujudan kawasan yang mempunyai kualiti dan kuantiti air yang mencukupi, bebas pencemaran dan mempunyai kemudahan infrastruktur yang sesuai, maka satu zon khas akuakultur perlu disediakan bagi tujuan ini.

Objektif Zon Industri Akuakultur (ZIA)
Mengekalkan kawasan akuakultur daripada ditukarkan kepada aktiviti ekonomi yang lain. Ini perlu bagi memastikan pembangunan akuakultur secara berpusat dan lebih produktif, ekonomik, mesra alam, konsisten, mapan, sistematik serta mudah dikawal.
Memudahkan Kerajaan menyediakan khidmat sokongan dengan lebih cekap dan berkesan.
Mengurangkan kos pembangunan dan pengurusan melalui penyediaan dan penggunaan kemudahan infrastruktur secara berpusat.
Pelaksanaan projek akuakultur berskala besar dijangka dapat menerapkan unsur-unsur komersial, mengurangkan kos, meningkatkan daya saing dan memudahkan proses pemindahan teknologi baru.
Boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan cergas aktiviti hiliran seperti pengeluaran produk dengan nilai tambah (value-added) dan "agro-tourism".
Menyokong langkah mewujudkan pelan pembangunan bersepadu di sesuatu kawasan/daerah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan